Friday, December 19, 2008

PTPTN = KAPITALISME


KADANG-KADANG saya terfikir bahawa sistem pendidikan negara Malaysia ini adalah manifestasi sistem kapitalisme tajaan Barat. Makna mudah sistem kapitalisme adalah kecenderungan ekonomi politik oleh golongan pemodal atau satu-satu institusi (capital) dalam menjana kekayaan tanpa diganggu oleh pihak kerajaan. Sistem kapitalisme ini percaya bahawa hanya pemodal mampu membangunkan prasarana negara. Namun, pengenalan dasar kapitalisme ini telah mewujudkan jurang hidup yang ketara antara golongan kaya dan miskin.
Sebagai contoh, dasar pinjaman PTPTN yang melahirkan golongan kaya agar terus kaya dan golongan miskin yang akan terus melarat. Contoh ini, saya akan jelaskan kemudian. Secara klasikalnya, dasar ini ditentang hebat oleh sosialisme/komunisme. Bagi pendukung aliran ini, rakyat seharusnya mempunyai hak mutlak dalam mentadbir negara dan segala produk atau kekayaan negara seharusnya menjadi milik bersama di kalangan rakyat. Sebagai contoh, tuntutan biasiswa / yuran percuma ke atas seluruh mahasiswa tanpa mengambil kira realiti beban pengurusan kewangan institusi berwajib dan kerajaan Malaysia oleh golongan di atas secara konseptualnya. Ulasan tentang sosialisme/kapitalisme di atas, saya tinggalkan dalam siri penulisan akan datang jika ada kesempatan. Fokus penulisan saya kali ini hanya berkaitan unsur kapitalisme dalam sistem yuran-pinjam di IPT. Sebenarnya, Islam juga menentang sistem kapitalisme dan tidak pula menyokong sistem sosialisme/komunisme. Ini melarang penganut/institusi/kerajaan Islam memonopoli kekayaan kerana dalam pemilikan kekayaan sebenarnya ada hak Allah, hak pemilik dan hak ummah. Islam tidak menerima konsep persamaan hak atau sama-rata sebagaimana yang dipegang oleh komunisme/sosialisme. Islam mendukung keadilan hak dengan meletakkan satu-satu hak sesuai dengan tempatnya.
Di Mana Unsur Kapitalisme dalam IPT?
Unsur kapitalisme ini dalam banyak bab sejak sebelum merdeka. Salah satunya adalah sistem biasiswa dan pinjaman yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dan diaplikasi oleh badan-badan tertentu termasuk IPT sendiri. Demi membangunkan negara Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana besar negara supaya rakyat Malaysia mampu menimba ilmu di peringkat pengajian tinggi. Peruntukan dana tersebut dikenali sebagai biasiswa dan kerajaan menganggap pemberian biasiswa ini sebagai suatu modal insan; bukan liabiliti kewangan negara.
Niat kerajaan pada ketika itu sangat jelas iaitu agar kepakaran oleh mahasiswa tersebut suatu hari nanti akan kembali dimanfaatkan demi pembangunan negara bangsa Malaysia.
Anak-anak tempatan sudah tentu sangat diperlukan dalam membangunkan negara terutama ketika baru-baru merdeka, 1957. Pada ketika itu, rakyat Malaysia mempunyai dua pilihan IPT sahaja. Pertama, melanjutkan pengajian ke luar negara dan sudah tentu besar kos pengajiannya.
Kedua, belajar di kolej-kolej tempatan yang rata-rata turut dipimpin oleh Inggeris. Kolej Perubatan King Edward VII (ditubuhkan 1905), Kolej Raffles (ditubuhkan 1929), Maktab Perguruan Sultan Idris (ditubuhkan 1922) merupakan antara IPT yang wujud sebelum merdeka. Walaupun Universiti Malaya wujud hasil sistesis Kolej Perubatan King Edward VII dan Kolej Raffles pada tahun 1949, namun polisi pentadbiran masih diputuskan oleh Inggeris. MPSI sendiri ditadbir oleh Inggeris sehingga 1958.
Malay College Kuala Kangsar (MCKK) hanya layak dimasuki oleh golongan elit kolonial dan elit Melayu sahaja. Anak pemilik estet, keturunan raja, anak kolonial sahaja mampu belajar di sana dengan menggunakan wang ibu bapa mereka kerana yuran pengajian cukup tinggi.
Anak-anak rakyat hanya mengintai peluang biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan pada ketika itu. Di kalangan mereka, ada yang dapat biasiswa dan ada yang tidak.
Walaupun demikian, cita-cita kerajaan adalah tenaga kepakaran mereka ini akan diserapkan ke sektor kerajaan. Ternyata, hasrat tersebut berhasil.
Formula kerajaan sangat mudah; kerajaan menyediakan biasiswa dan tenaga kepakaran patut kembali kepada sektor kerajaan selepas graduan. Formula ini terus digarapkan oleh kerajaan khususnya dalam pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Biasiswa diberikan oleh badan-badan tertentu. Antaranya biasiswa kerajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam; disebut sebagai biasiswa JPA. Biasiswa ini telah diberikan kepada hampir semua calon mahasiswa sehingga penghujung tahun 1990an. Jika tidak layak mendapat biasiswa, calon-calon mahasiswa mungkin membuat load bank atau sumber kewangan peribadi. Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional mula diperkenalkan pada tahun 1997. Ini bermakna jumlah peruntukan biasiswa kepada komuniti mahasiswa Malaysia kian mengecil. Biasiswa JPA hanya diberikan kepada anak-anak penjawat kerajaan sahaja. Padahal ada pihak-pihak lain yang lebih memerlukan.
Golongan pak tani, penoreh, buruh kilang, pion swasta dan banyak lagi komuniti masyarakat miskin dan sederhana dibiarkan sahaja anak-anak mereka ini terus diikat dengan beban hutang yang dikenali sebagai PTPTN. Mungkin kerana mereka miskin, sebab itu mereka layak menerima PTPTN; kerana dasar kapitalisme memang mahu golongan kaya (kerajaan/PTPTN) terus kaya di atas kemiskinan rakyat termasuk dalam sektor pendidikan tinggi.
Anak-anak pegawai/kakitangan kerajaan dilayakkan menerima biasiswa JPA kerana mereka mewarisi status quo kapitalisme British sebelum merdeka. Hujah saya mudah, sistem kapitalisme dalam IPT dahulu dilihat melalui pengenalan yuran pengajian yang tinggi oleh kolonial ke atas seluruh mahasiswa Malaya. Sistem Kapitalisme sekarang dilihat melalui liabiliti hutang pengajian oleh PTPTN hanya kepada anak-anak pak tani, penoreh, buruh kilang, pion swasta dan banyak lagi komuniti masyarakat miskin dan sederhana; tidak pada elit negara yang disebut sebagai anak-anak pegawai/kakitangan/menteri dalam sektor kerajaan.
Kesimpulan Dan Saranan Saya Jelas, saya tidak bersetuju kerajaan memansuhkan biasiswa demi menjunjung konsep sama rata di kalangan rakyat Malaysia. Jika kerajaan memansuhkan biasiswa (khususnya JPA), kerajaan mungkin berjaya lari dari isu kapitalisme yang saya utarakan, namun sebenarnya kerajaan Malaysia sedar atau tidak sedang menuju sistem sosialisme IPT pula. Memansuhkan JPA juga adalah tindakan terkebelakang di sisi mata rakyat.
Apa yang boleh pihak kerajaan lakukan jika benar-benar jujur dengan kepentingan hidup mahasiswa adalah mengIslamkan semula sistem pendidikan IPT. Perubahan sekurang-kurangnya dilakukan dalam sistem yuran-pinjam IPT. PERTAMA, kerajaan patut memansuhkan dasar pengkorperatan Universiti. Jika dasar ini dimansuhkan, liabiliti dana pengurusan akan kembali ditanggung oleh kerajaan secara adil, bukan dipikul oleh mahasiswa yang rata-rata tiada sumber pendapatan asasi. KEDUA, hapuskan 3% riba dalam pinjaman PTPTN. Jika calon sarjana muda pinjam RM19500, secara asasnya patut dilangsaikan hutang sebanyak RM19500. Jika Qard al-Hassan, sepatutnya peruntukan caj perkhidmatan diikat pada kadar keperluan perkidmatan; bukan peratus (%) jumlah pinjaman. KETIGA, tawarkan biasiswa berdasarkan konsep keadilan hak (justice to right). Biasiswa sepatutnya diberikan pada pihak yang benar-benar memerlukan tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan; bukan pada anak-anak kakitangan/pegawai/ menteri dalam sektor kerajaan. Ini konsep keadilan hak dalam sistem Islam. Jika tidak, benarlah sangkaan awal saya, bahawa sistem yuran-pinjam IPT di Malaysia dewasa ini sarat dengan unsur kapitalisme! -END (Faisal84)

0 comments:

About This Blog

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP